No Comment
GERIK 21 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru orang Melayu memperkasakan minda serta berani mengubah budaya hidup supaya dapat bersaing dan tidak ketinggalan dalam arus perubahan dunia yang semakin mencabar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk terus berjaya, orang Melayu perlu melihat ke hadapan dalam dunia yang pesat dengan cabaran baru serta teknologi yang akan membawa kesan kepada cara hidup dan hubungan dengan negara lain.

Sehubungan itu, katanya, minda dan budaya orang Melayu perlu selari dengan rentak dan denyut nadi dunia supaya mereka tidak ketinggalan dalam sebarang bidang yang diceburi.

``Kita tak mahu kita anggap berjaya dalam ruang lingkup kecil kerana cabaran yang dibawa adalah untuk membawa kejayaan ke peringkat serantau atau di persada antarabangsa dan dunia,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gerik, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Najib berkata, UMNO telah berjaya dalam pelbagai aspek membangunkan negara dan bangsa dengan membawa pembangunan dan perubahan di bandar serta luar bandar.

``Kita boleh katakan telah menjadi juara untuk memperjuangkan untung nasib bangsa kerana tiada kelompok yang tidak disentuh dan dicuit dengan segala bentuk usaha dan perjuangan kita.

``Kalau nak diukur dari segi pembangunan dan memartabatkan agama hingga jadi negara model Islam, kita berjaya dan ukur dari pelbagai aspek dan segi, tidak dinafikan kita hebat,'' lagi, segala usaha membangunkan negara ini walaupun berdepan dengan pelbagai masalah yang kompleks telah dapat dilaksanakan dengan jaya.

``Fasa terdekat ini kita berjaya bangunkan negara... lebih mudah bangunkan negara daripada berusaha merubah minda dan budaya orang Melayu menjadi bangsa yang unggul dan cemerlang,'' katanya.

Bagaimanapun, Najib kesal dengan sikap sesetengah orang Melayu yang masih lagi mempunyai pemikiran lama seperti mempercayai tahyul.

Katanya, ini kerana beliau ada bertanyakan pelayar solo pertama negara yang mengelilingi dunia, Datuk Azhar Mansor tentang soalan lazim yang diterima dalam ceramah-ceramahnya dan terkejut apabila diberitahu yang paling banyak ditanya ialah sama ada beliau pernah berjumpa hantu atau tidak sepanjang pelayarannya.

``Satu lagi keadaan yang dapat dilihat betapa orang Melayu masih mempercayai tahyul kerana majalah Mastika terbitan Utusan Melayu lebih laris berbanding majalah ilmu dan serius seperti majalah Massa.

``Majalah Massa terpaksa ditutup oleh Utusan Melayu kerana kekurangan pembaca dan ini menunjukkan orang Melayu tidak banyak berfikir untuk perkara-perkara serius,'' katanya.

Beliau juga mengulangi amaran supaya tidak menyebarkan fitnah menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana ia boleh memporakperandakan parti.

``Kalau dulu kita ada unsur surat layang fitnah tetapi kini menular pula budaya SMS fitnah, e-mel yang penuh cerita fitnah dan karut marut,'' katanya. (ABDUL RAZAK DIN)
 

This Post has No Comment

Posting Komentar

Posting Lebih Baru