No Comment

GAMBAR kenangan keluarga.Johar Bahar dan Hasnah Mohd. Yunus bersama anak-anak; dari kanan: Khairil Johari Johar, Norisa dan Norchahaya.

Hasnah Mohd. Yunus - isteri Johar Bahar

``Selalunya dia akan bertemankan gitar mencipta apa saja melodi yang terlintas. Tapi langsung tidak kedengaran sebarang petikan. Kalau ada pun sayup-sayup.

``Dia suka menulis lagu sambil memetik gitar. Sambil itu dia akan bersiul. Tapi kita tak dengar apa-apa. Yang kita nampak ialah dia ralit menulis sesuatu.

``Oleh kerana jiwanya lembut, dia memang langsung tidak pernah mencipta lagu yang `keras-keras'.

``Keroncong adalah medium yang paling disukainya dan dia sendiri mempunyai kepakaran dalam irama lembut mendayu itu.''

Begitu kata isteri Allahyarham Johar Bahar, Hasnah Mohd. Yunus. juga seorang penyanyi dan penulis lirik lagu karya Johar yang dipanggilnya Abang Jo. Katanya lagi, suaminya itu tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik.

``Dia bermain muzik menggunakan naluri dan dia belajar melalui pembacaan,'' kata bekas guru besar itu lagi.

Mengakui gandingan Johar-Hasnah amat serasi dalam setiap penciptaan kerana mempunyai jiwa yang sama, Hasnah yang ditemani anaknya, Profesor Madya Khairil Johari Johar pada pertemuan di rumahnya baru-baru ini berkata;

``Kebiasaannya saya mencipta seni kata dengan membayangkan perkara yang saya inginkan.

``Selalunya, setelah siap mencipta melodi, Abang Jo akan datang kepada saya menyerahkan karyanya.

``Yang tak sedapnya, dia dah siap beri tajuk, jadi tak dapatlah nak berangan lebih-lebih.''

Menurut Hasnah, lagu Gunung Kinabalu merupakan kolaborasi pertama mereka dalam bidang penciptaan lagu dan seni kata.

``Apabila saya sudah pandai menulis seni kata, tambahan pula saya pandai membaca nota muzik, Abang Jo menyerahkan setiap karyanya kepada saya,'' katanya yang mula bergelar penyanyi pada usia 10 tahun.

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, arwah suaminya memiliki hasil karya sehingga mencecah ke angka 1,000.

``Namun ada antara nota muzik itu telah dibuang oleh Abang Jo waktu dia berkemas-kemas.

``Memang sayang bila diingatkan tetapi masih banyak nota-nota muzik yang tersimpan baik umpamanya lagu Selamat Tinggal Bungaku, Malaysia Tanah Airku dan Gunung Kinabalu.

``Yang menariknya, Abang Jo bukan sahaja puitis orangnya, tetapi tulisannya pada nota-nota muziknya juga cantik dan kemas,'' cerita Hasnah sambil menunjukkan beberapa nota muzik yang ditulis oleh allahyarham suaminya.

Sentuhan terakhir komposer tersebut ialah membuat susunan semula lagu-lagu langgam untuk dialihkan ke irama keroncong bagi siaran Radio Irama Melayu Asli (RIMA) yang kini dikenali Radio Irama Klasik.

Sehingga beliau sanggup membeli piano baru semata-mata untuk menggubah semula himpunan lagu-lagu tersebut yang mendapat kerjasama dari Yayasan Warisan Johor.

Sebagai orang yang pakar dalam irama keroncong sama ada keroncong asli mahupun keroncong langgam, seniman itu percaya irama mampu mengemakan patriotisme.

``Justeru, kebanyakan lagu-lagu patriotiknya lembut tetapi penuh bermakna.

``Walaupun pakar dalam irama itu, Abang Jo tidak ekstrem malah seorang yang progresif. Beliau sering mengikut aliran tanpa melupakan seni asal irama tersebut dalam setiap penciptaannya,'' jelas Hasnah yang mendirikan rumah tangga dengan Johar pada 1952.

Lagu untuk isteri

SEORANG yang pendiam, Johar yang berasal dari Serendah, Selangor merasakan bahawa karya yang indah harus mudah difahami.

Baginya setiap karya yang terhasil harus `terlekat di minda' agar ia terus menjadi malar segar.

Justeru, beliau percaya dengan melodi yang mudah dan lirik yang ringkas, karya itu mampu meresap ke jiwa pendengar dan kekal hingga berzaman.

Umpamanya lagu Selamat Tinggal Bungaku terus indah di dengar sehingga hari ini.

Seringkali dianggap lagu cinta, ia sebenarnya ditujukan kepada perajurit negara yang berkorban nyawa untuk menjaga keselamatan negara dan meninggalkan orang tersayang; tidak kira kekasih, isteri mahupun ibu.

``Sememangnya beliau gemar mencipta lagu yang mempunyai maksud tersirat. Lagu Selamat tinggal Bungaku dicipta sewaktu zaman darurat pada 1948,'' jelas Hasnah.

Lalu apabila ditanya tidakkah lagu tersebut mempunyai maksud istimewa dalam hidupnya bersama seniman itu, dalam tawanya dia memberitahu;

``Mana mungkin lagu itu untuk saya kerana waktu saya menyanyikannya, usia saya baru sahaja mencecah 10 tahun.''

Bagaimanapun Hasnah mengakui, saat dia intim bersama Johar sebelum diijab kabulkan, komposer itu ada mencipta beberapa lagu untuknya seperti Kau Selalu Di Hatiku yang dinyanyikan sendiri oleh Hasnah.

Malah sewaktu melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan di Maktab Kirkby, England, Johar turut mencipta lagu-lagu untuk Hasnah sebagai tanda kasih terhadap isterinya itu.

Lagu sempena kemerdekaan

MENURUT Hasnah, Johar mula aktif mencipta lagu apabila merasakan terlalu banyak lagu patriotik Indonesia menembusi pasaran tempatan.

``Ketika itu dia merasakan kita perlu mempunyai lagu-lagu patriotik yang lebih menonjolkan jati diri kita,'' kata Hasnah sambil memberitahu lagu ciptaan allahyarham, Malaysia Tanah Airku dicipta bersempena sambutan hari kemerdekaan negara pada 1957.

Menariknya, seniman itu bukan sekadar seorang pencipta dan penggubah lagu, tetapi dia juga menyanyi dan memimpin orkestra.

Memulakan kerjaya sebagai ahli kumpulan Keroncong Orkes Abdullah Sani di Kampung Baru, Kuala Lumpur, beliau juga pernah menyertai Orkes Keroncong Rindu Malam di bawah pimpinan Zakri Abd. Rahman sebelum mengambil alih pimpinan.

Namun gandingan Tiga Suara dan Empat Serama yang menampilkan gandingan Hasnah, Johar dan Jamaluddin Abas, paling serasi.

``Apabila bersara dari RTM (bahagian perpustakaan), dia menubuhkan Orkes Bertali Sinar Malaysia yang dianggotai oleh Khairi dan anak-anak pemuzik veteran lain,'' kata Hasnah.

Perkahwinan

MENGIMBAU kenangan sepanjang hidup bersama seniman tersebut, Hasnah memberitahu, dia mengenali Johar apabila terlibat dalam bidang nyanyian.

``Selepas saya tamat tingkatan tiga, keluarga mahukan saya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

``Tapi kalau nak menyanyi juga, dia suruh saya bertunang dan kahwin dengan Abang Jo.

``Abang Jo bersetuju dan saya tak kisah kerana masa itu minat hanya nak menyanyi walaupun jarak usia kami berbeza 15 tahun,'' cerita Hasnah.

``Abang Jo jenis yang suka duduk di rumah. Dia langsung tak tahu erti marah apalagi terhadap anak-anaknya.

``Sebagai bapa, dia boleh dikatakan over protective. Anak kami Khairil terlalu manja dengan bapanya. Hingga saat-saat akhirnya, Abang Jo masih menanti kepulangan Khairil dari pejabat,'' cerita Hasnah.

Khairil Johari - anak

Profesor Madya Khairil Johari Johar (Ketua Jabatan Seni dan Persembahan di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor) pula memberitahu, bapanya yang dipanggil Babah itu seorang yang amat penyabar, tidak banyak cakap dan sangat merendah diri.

``Dia tidak menonjol tetapi amat kreatif. Sayang sekali, dia tidak sempat mencipta lagu untuk menceritakan kegemilangan Putrajaya,'' kata Khairil.

Khairil yang juga aktif dalam penciptaan lagu serta banyak menyertai pertandingan mencipta lagu mengakui, bapanya menjadi mentor dan pendorong utamanya dalam bidang penciptaan.

``Babah selalu berpesan jika mahu mencipta lagu, ciptalah irama dan lirik yang mudah tetapi berkesan.

``Babah juga banyak mengajar saya tentang erti kesabaran. Katanya, kalau buat sesuatu mesti sabar.

``Mungkin itu juga yang membuatkan dia mempunyai jati diri yang tinggi,'' kata Khairil.

Malah bagi Khairil, walaupun nama bapanya tidak segah seniman lain namun dia yang berkelulusan dari Berklee School Of Music, Boston, Amerika Syarikat ini tetap berbangga apabila saban tahun lagu ciptaan bapanya seperti Malaysia Tanah Airku berkumandang dan didendangkan dalam setiap acara sambutan hari kemerdekaan.

S.M.Salim - penyanyi

S.M Salim atau nama sebenarnya Salim Sheikh Mohammad, 77, berkata lirik lagu Selamat Tinggal Bungaku ciptaan Johar Bahar yang liriknya dihasilkan oleh Hasnah Mohd. Yunus itu menyentuh perasaan kerana ia menggambarkan isi hati perajurit yang terpaksa berpisah dengan orang tersayang.

``Sebenarnya lagu itu sering dinyanyikan oleh Orkes Rindu Malam dan saya sendiri selalu menyanyikan lagu tersebut setiap kali diundang mengadakan persembahan menghiburkan perajurit di seluruh negara. Waktu itu lagu itu belum dirakamkan dalam mana-mana album.

``Lama kelamaan, lagu itu seperti sudah sebati dan saya pun minta izin untuk merakamkannya pada tahun 60-an. Johar bersetuju,'' cerita S.M. Salim.

Menurut S.M. Salim, dia mengenali Allahyarham Johar kerana mereka sama-sama bekerja di RTM.

Katanya, sepanjang tempoh mengenali Johar, belum sekali dia melihat allahyarham meninggikan suara atau bermasam muka dengan orang lain.

Sebab itu, kata Salim, dia sering mencari ruang mengusik Johar dan menunggu masa melihat allahyarham naik angin.

``Dia adalah seorang pendiam tapi disenangi oleh semua orang kerana dia jenis yang tidak suka ambil tahu hal orang lain. Dia akan buat kerja dia sahaja.

``Saya sering tertunggu-tunggu nak tengok wajahnya bila marah. Tapi sampai akhir hayatnya, saya tidak berpeluang melihat,'' ceritanya lagi.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu adalah pada 4 Julai lalu pada majlis Anugerah Budayawan Negeri Selangor.

Kata S.M. Salim pada pertemuan itu hatinya amat tersentuh melihat keadaan Johar yang kurang sihat.

Tegasnya, allahyarham amat kental dengan semangat patriotik dan pegangannya itu disalurkan menerusi lagu.

``Allahyarham adalah seorang anak seni jati. Karya-karyanya lahir daripada jiwa dan sebab itulah lagu-lagu ciptaannya mampu bertahan hingga kini. Bezanya lagu ciptaan allahyarham banyak berentak keroncong,'' katanya.

Ibrahim Bachik - aktivis seni

Sementara itu seorang lagi aktivis seni yang rapat dengan Allahyarham Johar ialah Datuk Ibrahim Bachik.

Menurut Ibrahim, dia mula mengenali Johar pada tahun 1968 ketika bertugas di Radio Malaysia, Bahagian Melayu di Rumah Persekutuan. Perkenalannya dengan Allahyarham amat erat.

``Apabila kami dipindahkan ke Angkasapuri, saya bertugas sebagai juruhebah dan Johar pula di bahagian perpustakaan. Dia juga yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk menghasilkan lagu-lagu berirama puisi,'' katanya.

Malah sewaktu bertugas sebagai Penerbit Rancangan Orkestra di radio, Ibrahim banyak memberi peluang kepada Orkestra Bertali Johar Bahar mengadakan persembahan setiap minggu.

Ibrahim yang merupakan guru vokal bebas untuk korporat atau individu itu berkata kebanyakan lagu ciptaan Johar lahir daripada jiwa.

Katanya, sebagai pemimpin orkestra, Johar tidak pernah garang dengan pemuzik atau penyanyi. Sebaliknya, kalau mana-mana ahli melakukan kesilapan, dia akan tegur dengan nada bergurau.

``Sikapnya yang susah marah itu membuatkan dia disenangi oleh semua orang. Selain itu satu lagi tanda yang dia ada berhampiran kita adalah bau cerutnya,'' katanya sambil tersenyum.

Baginya, Johar adalah seorang komposer dan sahabat yang sukar untuk dicari ganti.

Jamaluddin Alias - teman rapat

Jamaluddin Alias, 69, penyanyi lagu-lagu patriotik menganggap usaha dan kesungguhan Johar Bahar yang lebih mesra dengan panggilan Abang Jo dalam memupuk semangat cintakan tanah air sukar dicari ganti.

``Kelebihan Allahyarham sebagai komposer lagu patriotik ialah penghayatan beliau semasa mencipta sesebuah lagu yang mampu menyentuh emosi pendengar.

``Semua lagu-lagu beliau cukup hebat. Sebagai penyanyi, saya dapat menghayati keindahan melodi serta menyelami liriknya setiap kali mengalunkan hasil ciptaan beliau,'' katanya.

Walau memiliki kebolehan serta bakat dalam bidang seni, kata Jamaluddin, Johar seorang yang tidak kedekut ilmu serta tidak pernah menolak apabila ada sesiapa meminta tunjuk ajar.

Jamaluddin , mendapat bimbingan allahyarham ketika menyertai Orkes Rindu Malam pimpinan arwah pada 1955.

``Terlalu banyak kenangan saya bersama arwah. Walau beliau seorang yang pendiam, tetapi kami akrab bagaikan adik-beradik. Lagi pun kami sama-sama tinggal di Kampung Semarang, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

``Masa lapang banyak dihabiskan bersama untuk berlatih menyanyi dan sebagainya. Dengan bimbingan arwah juga saya muncul juara Bintang Radio 1961 kategori irama langgam dan asli,'' jelasnya.

Mengenali Allahyarham yang tidak gemar mencampuri urusan orang lain, katanya, hasil gubahan beliau sering menjadi sanjungan penyanyi dan komposer Singapura dan Indonesia.

``Tapi arwah bukan jenis yang suka menonjolkan diri atau merungut itu ini. Dia hanya buat kerja dia tanpa banyak soal.

``Bagaimanapun, jasa beliau dalam menaikan semangat patriotik melalui lagu-lagu wajar dikenang dan diberi penghargaan yang setaraf,'' katanya.

Johari Salleh - komposer

Bagi Datuk Johari Salleh, 65, Allahyarham mempunyai gaya dan keistimewaan tersendiri dalam mencipta lagu-lagu patriotik berirama perlahan.

Mengenali Allahyarham sejak menyertai Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1961, katanya lagu-lagu beliau mampu memberi semangat tanpa perlukan melodi rancak.

``Jika kebanyakan lagu patriotik lain berentak rancak, Allahyarham lebih cenderung pada lagu-lagu patriotik berirama sentimental sesuai dengan sifat beliau yang pendiam dan lemah lembut.

``Itulah istimewanya ciptaan beliau. Walau berirama sentimental, gubahannya terbukti mampu memupuk semangat patriotik dan menjadi ingatan dan sanjungan hingga ke hari ini,'' katanya.

Masing-masing berkhidmat sebagai komposer di RTM, katanya, allahyarham banyak memberi tumpuan pada muzik keroncong dan asli untuk rakaman siaran radio.

Jarang berbincang tentang muzik mahu pun lagu-lagu gubahan masing-masing, hubungan mereka lebih sebagai sahabat baik yang berterusan sehingga ke akhir hayat allahyarham.

Kedua-duanya pernah bergabung tenaga dalam menghasilkan lagu Selamat Pergi Pahlawan semasa Konfrantasi Malaysia-Indonesia pada 1963.

``Allahyarham lebih dihormati sebagai seorang yang lebih senior dan berpengalaman dalam gubahan lagu-lagu patriotik.

``Beliau umpama mentor kepada komposer-komposer muda dengan sikap beliau yang tidak lokek walau tidak begitu ramah serta lebih memberi tumpuan kepada kerjanya,'' jelasnya.

Mengenali allahyarham yang sentiasa merendah diri, beliau tidak pernah merungut walau hasil ciptaan beliau ke udara tanpa menyebut namanya sebagai komposer.

Walau jauh lebih berpengalaman, namun beliau sentiasa menghormati kebolehan komposer-komposer muda serta suka membantu apa yang perlu.

Kata Johari, kenangan paling manis apabila allahyarham menyuarakan hasrat untuk menamakan anaknya sempena nama beliau.

Bagi Johari, itu merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana komposer berbakat seperti Johar, ingin menjadikannya sebagai idola untuk anak beliau.

Kini, ternyata impian tersebut bukan satu mimpi kerana Profesor Madya Khairil Johari Johar bukan sahaja komposer, tetapi juga pensyarah muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
 

This Post has No Comment

Posting Komentar

Posting Lama Posting Lebih Baru