No Comment
Pasangan Indonesia saman Imigresen, 13 defendan RM30.2j

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Sepasang suami isteri warga Indonesia yang menyaman Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid bagi menuntut ganti rugi RM10 juta minggu lalu, hari ini menyaman Jabatan Imigresen dan 13 defendan lain bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM30.2 juta.

Saman tersebut dikemukakan kerana mereka mendakwa Abd. Mutalib Taib (suami) telah ditahan secara salah sebelum menghantarnya pulang ke Indonesia.

Writ saman tersebut difailkan oleh mereka melalui firma guaman, Tetuan Charles Hector & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Abd. Mutalib, 47, dan Romita Hasibuan, 37, turut menamakan anak-anak mereka, Maruly Azis, 13; Sarah Nor Varah Hanim, 11;, Yonatan Adam Fauzi, 9; dan Ismael Syah Putra, 6, sebagai pihak plaintif.

Mereka menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mohd. Jamal Kamdi; tiga pegawai jabatan tersebut, Saadun Mat Sabari; Mamat Abdullah; Fisol Yahya dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kamaruddin Idris sebagai defendan-defendan.

Selain Jabatan Imigresen, defendan lain ialah Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Selangor; Ketua Pengarah Imigresen; JPN; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Kerajaan Malaysia dan tiga kakitangan JPN yang hanya dinamakan sebagai Wan Siti, Osman dan Manap.

Pada 15 September lalu, Romita dan Abd. Mutalib telah menyaman malu Azmi dan dua defendan lain bagi menuntut ganti rugi RM10 juta kerana mendakwa Azmi memfitnah Abd. Mutalib sebagai seorang penjenayah dan penderhaka besar.

Dalam pernyataan tuntutan saman hari ini, Romita dan Abd. Mutalib menyatakan mereka telah berkahwin pada 26 Ogos 1991 dan hasil perkahwinan itu mereka telah dikurniakan empat orang anak yang lahir di negara ini dan menjadi warga negara Malaysia.

Bagaimanapun, dakwa mereka, pada 23 Mac lalu, defendan telah menahan Abd. Mutalib yang pernah diberikan status taraf pemastautin tetap di negara ini dan kemudiannya dihantar pulang ke Indonesia.

Dengan ketiadaan Abdul Mutalib di sini, dakwa mereka, Romita mungkin tidak akan dapat terus tinggal di Malaysia kerana dia memegang `visa ikut suami' dan suaminya perlu hadir untuk memperbaharui visa yang tamat dalam tempoh enam bulan.

Tambahan pula, dakwa mereka, permohonan untuk mendapatkan `visa ikut anak' oleh Romita atau keputusan permohonannya untuk melanjutkan tempoh visa masih belum diketahui.

Tindakan pihak defendan ini, katanya antara lain telah menyebabkan mereka mengalami penderitaan dan kerugian akibat pemisahan bapa daripada anak-anak dan mungkin juga terhadap ibu mereka.

Dengan itu, dalam sekian banyak tuntutan yang dikemukakan, mereka menuntut perisytiharan supaya kanak-kanak tersebut dapat terus tinggal di negara ini bersama ibu bapa mereka demi kepentingan anak-anak itu dan ibu mereka dibenarkan terus tinggal di negara ini.

Mereka juga menuntut ganti rugi berjumlah RM30,231,000 daripada defendan-defendan.
 

This Post has No Comment

Posting Komentar

Posting Lama Posting Lebih Baru