1 komentar
Oleh: ASTORA JABAT

KINI boleh dikatakan pembunuhan berlaku setiap hari di selatan Thai dan mereka yang terbunuh pula terdiri daripada orang Muslim dan orang Buddha.

Cara mereka dibunuh pula sama ada melalui letupan bom mahupun melalui curi tembak dan sembelih. Kebanyakan pembunuhan yang berlaku pula seolah-olah merupakan tindakan balas-membalas antara penduduk selatan Thai yang beragama Islam dan penduduk selatan Thai yang beragama Buddha.

Ini berbeza dengan pembunuhan-pembunuhan yang berlaku pada masa lalu di mana dilihat sebagai permusuhan dan perang antara kerajaan atau polis dan tentera dengan puak-puak pejuang Muslim jika diketepikan pembunuhan politik, pembunuhan samseng dan pembunuhan yang dilakukan oleh pihak yang mahu mengancam kerajaan pusat di Bangkok.

Pada masa itu tidak ada sami Buddha yang kena bunuh walaupun ramai ustaz dan tok guru yang hilang entah ke mana atau dibunuh senyap-senyap. Orang awam Buddha juga jarang kena bunuh kecuali berlaku perbalahan dengan Muslim atau yang terlibat dalam melakukan jenayah dan kezaliman terhadap mereka. Tetapi perkara ini berlaku juga terhadap orang Muslim sendiri.

Dulu juga serangan hanya dilakukan ke atas balai polis sahaja. Tidak pernah ada serangan dilakukan ke atas sekolah, pasar, pejabat, rumah orang dan sebagainya. Tetapi kini semua itu tidak ada lagi. Sebaliknya yang ada ialah sasaran pembunuhan semakin luas mencakupi orang awam yang beragama Islam dan beragama Buddha, ustaz, tok guru, imam, sami, ketua kampung dan lain-lain. Dari segi prasarana pula yang kerap menjadi sasaran ialah sekolah termasuk sekolah agama, pejabat, pusat rawatan kampung, rumah kediaman dan sebagainya.

Akibatnya muncul perasaan saling tidak percaya dan curiga-mencurigai antara orang Muslim dan orang Buddha.

Perasaan itu semakin menebal kini. Malah kini orang Muslim semakin tertekan kerana dilihat sebagai pengganas. Orang Muslim yang memakai kupiah dan serban atau Muslimah yang memakai tudung boleh terdedah kepada macam-macam tekanan apabila mereka berada di luar selatan Thai seperti di Bangkok kerana ada orang Buddha menggelarkan mereka sebagai pengganas.

Lantaran itu, kini ada penghijrahan atau tindakan melarikan diri daripada kawasan-kawasan berbahaya di selatan Thai. Perkara ini berlaku kepada orang Muslim dan orang Buddha sekali gus.

Orang Buddha yang bimbang dengan keselamatan diri mereka meninggalkan kawasan-kawasan bergolak di selatan Thai menuju ke kawasan-kawasan lain yang tidak bergolak. Ada yang meninggalkan terus wilayah majoriti Muslim itu menuju ke wilayah-wilayah Thai yang lain.

Sebenarnya orang Buddha boleh melakukan perkara itu dengan mudah kerana ramai di kalangan mereka bukan penduduk asal selatan Thai tetapi mereka merupakan pendatang. Mereka, sama ada yang datang ke wilayah majoriti Muslim itu sebagai peneroka dalam program Penempatan Membina Diri Sendiri yang dipanggil dalam bahasa Thai, Nikom Sang Ton Eng (seperti Felda di Malaysia) mahupun yang datang berniaga, makan gaji dan lain-lain.

Manakala orang Buddha yang tidak bimbang dengan keselamatan diri mereka kerana mendapat perlindungan daripada polis dan tentera atau berani menghadapi risiko akan tinggal di wilayah majoriti Muslim itu.

Ramai di kalangan mereka kini diberi senjata oleh kerajaan terutama yang tinggal dikawasan-kawasan berisiko tinggi. Malah kaum wanita mereka turut diberi latihan menggunakan senjata api.

Bukan sedikit di kalangan orang Buddha itu yang ada pertalian darah dan ras dengan orang Muslim. Dalam erti kata lain mereka merupakan orang asal selatan Thai seperti orang Muslim yang berbangsa Melayu itu. Mereka menjadi orang Buddha kerana ketika Pattani bertukar menjadi Islam dulu mereka kekal dengan agama orang Pattani sebelum kedatangan Islam, iaitu agama Buddha/Hindu. Orang Pattani beragama Buddha/Hindu itu mudah diserap menjadi orang Thai seperti semua orang Thai kerana faktor agama dan bahasa. Mereka dulu bercakap Melayu, tetapi kemudian mereka bercakap bahasa Thai selepas berhijrah ke selatan Thai bahagian atas seperti Nakhornsithammarat, Pattalung dan lain-lain ekoran Pattani jatuh ke tangan orang Islam atau bila berlaku perang antara orang Pattani yang beragama Islam dengan orang Siam yang beragama Buddha.

Selepas Pattani jatuh ke tangan Siam beberapa ratus tahun kemudian, ramai orang Pattani beragama Buddha/Hindu dan bercakap Thai itu kembali ke Pattani sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan. Kini walaupun mereka sudah menjadi orang Thai yang tidak berbeza dengan semua orang Thai yang lain dari segi agama dan bahasa, tetapi kesan budaya Melayu masih terdapat di kalangan mereka seperti budaya perkerisan.

Sesetengah orang intelek golongan ini memanggil diri mereka Siwichai, iaitu Sri Wijaya merujuk kepada kerajaan Sri Wijaya yang pernah melebarkan kuasa sehingga ke banyak wilayah yang didirikan Thailand kini termasuk selatan Thai sebelah bawah, tengah dan atas.

Berpindah kepada penduduk selatan Thai yang beragama Islam pula. Mereka tiada pilihan lain apabila merasakan diri tidak selamat tinggal di kampung sendiri kecuali lari ke kawasan-kawasan yang selamat di selatan Thai itu juga. Tetapi apabila terlalu berbahaya, mereka akan lari ke Malaysia dan itulah yang berlaku apabila 131 orang Muslim yang terdiri daripada lelaki, wanita kanak-kanak membolosi sempadan memasuki Kelantan pada 31 Ogos lalu.

Menurut akhbar Thai Post semalam, kejadian orang Muslim melarikan diri ke Malaysia pernah berlaku pada tahun 1980 ketika pemerintahan Perdana Menteri Prem Tinsulanda. Kejadian itu berlaku ekoran tentera mengambil tindakan mengepung rumah seorang pemimpin agama di kampung Tanah Merah, Betong, Yala ketika beliau sedang mengimamkan sembahyang. Akhbar Thai itu tidak pula memperincikan kejadian yang berlaku terhadap pemimpin agama itu, apakah beliau ditangkap atau dibunuh oleh tentera. Bagaimanapun, menurut akhbar itu beribu-ribu orang Muslim Thai melarikan diri ke Malaysia ekoran kejadian itu dan ia menyebabkan kerajaan Thai terpaksa menggunakan masa bertahun-tahun untuk membawa mereka pulang ke Thailand.

Akhbar Thai Post juga melaporkan kira-kira 50 orang Muslim Thai melarikan diri ke Malaysia setiap hari dengan membolosi sempadan secara tidak sah dan sejumlah lagi melarikan diri ke Malaysia dengan cara yang sah.

Akhbar yang sama turut melaporkan bahawa perisikan Thai di Narathiwat mendapati bahawa terdapat pihak yang cuba memainkan isu pembunuhan seorang tok guru di Jabat (Resak), seorang ustaz di Si Sakorn (Kuala Kawil) dan tok imam di Sungai Padi untuk menakut-nakutkan orang ramai dan menyebabkan mereka melarikan diri ke Malaysia. Perisik Thai di Narathiwat itu percaya orang Muslim yang akan melarikan diri ke Malaysia amat ramai jika pihak kerajaan tidak berjaya menyelesaikan masalah pembunuhan ketiga-tiga pemimpin agama itu.

Punca Muslim Thai lari ke Malaysia

Punca penduduk Muslim melarikan diri ke Malaysia menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Rahman Abdul Samad sebagaimana lapor The Nation kelmarin bahawa penduduk kampung Lahan, Sungai Padi telah berkonfrontasi dengan tentera yang cuba memasuki kampung mereka untuk menyiasat pembunuhan seorang imam tua kampung berkenaan. Tetapi penduduk tidak percaya kepada tentera kerana mereka menganggap tentera sendiri yang membunuh imam tersebut.

``Ramai penduduk termasuk budak-budak dan wanita duduk di atas jalan raya untuk menyekat tentera memasuki kampung mereka kerana mereka tidak percaya kepada tentera dan menganggap mungkin tentera terlibat dalam membunuh imam berkenaan,'' kata Abdul Rahman kepada The Nation.

Akhbar itu melaporkan ramai daripada mereka meninggalkan rumah kerana tentera mengancam untuk mengambil tindakan ke atas mereka disebabkan mereka menghalang tentera melaksanakan kerjanya. Selain itu akhbar yang sama melaporkan separuh daripada 200 orang penduduk disenarai hitam sebagai militan Islam adalah merupakan penduduk Narathiwat.

Gabenor Narathiwat, Pracha Terat mendakwa terdapat beberapa orang Muslim yang disenarai hitam sebagai militan Muslim merupakan penduduk kampung itu.

Semua itu menjadi antara punca menyebabkan penduduk kampung tersebut dan kampung-kampung berhampiran melarikan diri ke Malaysia.

AFP dalam laporan kelmarin menyebut orang Muslim selatan Thai itu melarikan diri ke Malaysia kerana bimbang dengan tindakan tentera Thailand yang didakwa menembak mati 17 orang Muslim termasuk imam kampung dalam operasi 29 Ogos lalu.

Pendirian Malaysia

Pendirian Malaysia berhubung isu Muslim selatan Thai menurut laporan Bernama ialah, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghantar pulang mereka yang melarikan diri ke Malaysia itu dalam waktu terdekat ini. Pada waktu yang sama beliau menganggap adalah tanggungjawab Thailand mengurangkan apa-apa jenis ketakutan, sama ada ketakutan sebenar ataupun yang dilihat sebagai menakutkan dalam usaha menghalang mereka daripada datang ke Malaysia.

``Saya fikir tanggungjawab di pihak Thailand adalah memastikan mereka dapat menangani ketakutan itu supaya mereka tidak datang ke sini. Kita ambil berat kerana kita tidak mahu melihat kemasukan beramai-ramai pelarian ke negara kita. Ia sangat susah untuk diuruskan,'' katanya.

Menteri Luar itu berkata, laporan awal yang diterima mengatakan warga Thai itu mengambil keputusan memasuki Malaysia kerana bimbangkan keselamatan mereka.

``Saya berharap keadaan ini akan diteliti bagi memastikan orang-orang itu kekal di negara mereka... (dan) keselamatan mereka terjamin. Jika ini dapat dipastikan, saya fikir persoalan terhadap kemasukan mereka ke Malaysia tidak akan timbul,'' katanya.

Syed Hamid menyatakan keselamatan di selatan Thailand itu masih belum stabil dan Kuala Lumpur berharap Bangkok akan mengambil tindakan sepatutnya bagi meyakinkan penduduk tempatan di sana.

Malaysia mahu supaya mereka yang terlibat berasa selamat dan kekal di negara sendiri, kata beliau dan menambah bahawa tanggungjawab adalah di pihak Thailand untuk mengurangkan segala rasa takut berikutan pelbagai insiden.

Menjawab satu soalan, Syed Hamid berkata, Malaysia belum membuat sebarang keputusan untuk menghantar pulang 131 warga Thai itu kerana Malaysia perlu menjalankan siasatan menyeluruh.

``Ini adalah kebiasaan mengikut undang-undang antarabangsa... kita melihat kepada keseluruhan keadaan dengan rapi bagi menunaikan tanggungjawab kita.

``Saya rasa mereka di sini. Ia bukan mengenai membenarkan mereka... memasuki negara kita dan kita belum lagi mengambil langkah menghantar pulang kerana kita belum selesaikan kerja kita (siasatan) lagi,'' katanya.

Syed Hamid berkata, secara teknikal Malaysia tidak pernah mengiktiraf status perlindungan atau pelarian politik.

``Ini bukan masalah pelarian atau tidak tetapi atas dasar kemanusiaan untuk memberi perlindungan sehingga tiba masanya mereka bersedia untuk pulang ke negara asal,'' katanya.

``Ia tidak semudah kita kumpulkan mereka dan hantar mereka balik ke negara asal,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan itu akan ditangani dengan cara berbeza jika terdapat elemen-elemen jenayah antara mereka.

Syed Hamid berkata, Malaysia menghargai Thailand kerana berhubung dengan Malaysia dalam perkara itu dan beliau telah bercakap dengan rakan sejawatannya Kantati Supamongkon dua kali.

Syed Hamid berkata, Menteri Thailand itu telah menafikan bahawa pasukan keselamatan telah membunuh 17 orang Islam dalam operasi pada hari Isnin.

``Beliau beritahu saya (tuduhan itu) tidak benar. Saya akan cuba mendapatkan laporan kita sendiri mengenai apa yang sebenarnya yang berlaku,'' katanya.
 

This Post has 1 Comment

10:46 AM

Saya org pattani.. Saya sentiasa berdoa pda yg esa. Satu hari nanti fatoni akn merdeka.. Kita sbgai org islam wajib kne amik blik tanah air kita..
. FATONI DARUSSALAM... Berjuang smpai akhir hayat...


Posting Komentar

Posting Lama Posting Lebih Baru