No Comment

PERUBAHAN adalah fitrah alam, malah bangsa Melayu sendiri tidak terlepas daripada proses perubahan itu. Terbaru ialah perubahan tanggapan terhadap makna ‘Melayu’ oleh masyarakat bukan berasal keturunan Melayu. Ia tergambar apabila masyarakat India-Muslim mula mempersoalkan mengenai status sebenar mereka di negara ini.

Perubahan tanggapan harus dilihat sebagai satu fitrah dalam sebuah perjalanan sejarah. Ia difaktorkan oleh unsur seperti perkembangan idea kesejagatan manusia, kematangan perasaan dan asimilasi budaya sehingga melunturkan identiti asal sesebuah masyarakat.


Gadis Melayu?

Itulah yang terjadi kepada masyarakat India-Muslim di negara ini. Ia satu fenomena kehidupan yang menuntut orang Melayu bangsa asal di negara ini, menilai semula makna ‘Melayu’ bagi memastikan relevensi konsep ketuanan Melayu dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia dan keutuhan Melayu sebagai tonggak kepemimpinan bangsa Malaysia dalam menghadapi arus pensejagatan dunia.

Kedua-dua cabaran itu menuntut langkah ke arah kesejagatan makna Melayu sejajar takrif Melayu yang begitu terbuka seperti tercatat dalam Perlembagaan. Tiga ciri melayakkan seseorang itu bergelar Melayu ialah menganut dan mengamalkan ajaran Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu dalam kehidupan harian.

Ciri-ciri ini jika diteliti memberi ruang cukup terbuka kepada sesiapa saja untuk bergelar Melayu tanpa mengira keturunan, warna kulit dan darah asalnya. Jika seseorang itu memenuhi ketiga-tiga syarat ini, seharusnya berdasarkan Perlembagaan negara, beliau layak bergelar Melayu.

Kesejagatan makna Melayu ini akan menjadikan bangsa Melayu bersifat multietnik. Dengan itu, bangsa Melayu bukan lagi terhad kepada mereka yang berketurunan Melayu dan memiliki ketiga-tiga ciri itu saja. Mereka juga boleh berasal daripada pelbagai etnik, kaum atau bangsa yang menetap di negara ini.

Untuk itu, istilah ‘Melayu’ tidak lagi terlalu terikat dengan asal keturunan, tetapi adalah satu ‘idea’ mengenai sebuah perkumpulan masyarakat yang berkongsi pegangan, bahasa dan budaya hidup.

Perluasan makna Melayu ini akan membolehkan etnik baru bergabung dalam satu rangkaian bangsa Melayu seperti yang sudah pun diterima pakai hari ini iaitu Melayu-Melanau, Melayu-Dusun, Melayu-Asli dan lain-lain lagi. Keadaan ini membolehkan kaum lain seperti Cina, India dan Sikh, berbangsa Melayu dengan gelaran Melayu-Cina, Melayu-India dan Melayu-Sikh.

Ini adalah idea umum sebagai cabaran kepada kelompok Melayu asli di negara ini. Konsep ketuanan Melayu tidak harus lagi terhad atas kefahaman memperjuangkan kewujudan bangsa Melayu daripada dipinggirkan kaum lain di negara ini.

Ketuanan Melayu harus diperluaskan kefahamannya sebagai satu perjuangan bagi menggembleng agenda pembangunan negara bangsa secara saksama dalam merealisasikan pembentukan bangsa Malaysia yang adil dan sejahtera di mana bangsa Melayu sebagai tonggak kepemimpinannya.

Perubahan makna Melayu ke arah lebih sejagat memerlukan umat Melayu terlebih dulu melalui proses anjakan paradigma yang drastik yang dibentuk oleh minda Melayu baru.

# Oleh Muhamad Razak Idris, Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia[Berita Harian]
 

This Post has No Comment

Posting Komentar

Posting Lama Posting Lebih Baru