2 komentar Label: , , , ,
Oleh Azmi Md Deros

KEJUTAN: Dr Mahathir menjelaskan keputusannya meletak jawatan sebagai ahli Umno sambil diperhati Khalid selepas menyampaikan ceramah Nasib Kedudukan Bangsa Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah di Alor Star, semalam.

Bekas PM sertai semula parti jika Abdullah letak jawatan

ALOR STAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga ahli Umno seumur hidup, semalam mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Dr Mahathir menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

"Saya dengan ini mengumumkan keluar parti hari ini sehingga Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan.

"Saya juga meminta ahli Umno yang sayangkan parti, mengambil tindakan yang berani ini untuk keluar parti dan kita menyertai semula Umno apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatan," katanya di hadapan lebih 1,500 hadirin, kebanyakannya ahli Umno Kedah pada majlis dialog 'Nasib Kedudukan Bangsa Melayu' di sebuah hotel di sini semalam.

Dr Mahathir membuat pengumuman itu sebagai menyahut cabaran seorang hadirin pada majlis berkenaan yang meminta beliau terlebih dulu mengumumkan keluar parti. Sebelum itu, dalam ucapan kira-kira sejam, beliau mencadangkan ahli Umno supaya keluar parti secara sementara bagi memaksa Abdullah meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, Ismail Jaziz yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan memperjuangkan hak orang Melayu, mencabar Dr Mahathir mengetuai usaha berkenaan supaya boleh dicontohi ramai lagi ahli Umno. Berikutan itu, Dr Mahathir mengumumkan keluar parti dan disambut tepukan gemuruh hadirin.

Majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK) itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim; Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob; bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Pengerusi DPMK, Tan Sri Khalid Abdullah.

Pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan menulis surat kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memaklumkan secara rasmi keputusannya itu.

Ditanya adakah beliau yakin ramai ahli Umno akan menyertainya, Dr Mahathir berkata, terpulang kepada mereka sama ada mahu terus mengutamakan Abdullah atau perjuangan parti.

Menjawab soalan sama ada beliau akan menyertai parti lain, bekas Perdana Menteri itu berkata, ahli Umno yang keluar parti jangan menyertai mana-mana parti.

Beliau berkata, sebagai ahli Umno yang sayangkan parti sudah tiba masanya mereka mengambil tindakan berani demi masa depan orang Melayu kerana tindakan sementara itu tidak akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa politik.

"Politik Melayu tak hilang. Kalau orang Melayu nak betulkan, bukan sebab kerana nak keluar saja. Kalau orang Melayu berani untuk memelihara parti dan perjuangan orang Melayu, mereka harus berani bertindak.

"Ini sampai kita nak adakan perjumpaan, ahli Umno tak boleh hadir, Ketua Bahagian tak boleh hadir... ini apa?" katanya.

Secara berkias, Dr Mahathir berkata, mengikut amalan kedoktoran jika sesuatu anggota pada tubuh manusia tidak boleh lagi digunakan kerana penyakit serius, ia perlu dibuang supaya tidak merebak dan mengancam nyawa individu berkenaan.

Ditanya adakah Adun dan Ahli Parlimen Umno juga perlu keluar parti, Dr Mahathir berkata, mereka wajar berbuat demikian jika benar-benar sayang kepada Umno.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.

"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan tindakannya itu mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V K Lingam.

"Ini soal mahkamah... dia boleh tuduh dan kalau saya salah masuk jail. Kalau tak salah, janganlah tangkap saya juga," katanya sambil ketawa.

Beliau berkata, ahli Umno perlu memberi mesej yang keras dan jelas kepada kepimpinan parti supaya mereka mendengar kehendak ahli dan bukan hanya mendengar nasihat serta menuruti arahan sekelompok manusia yang lebih berkuasa, termasuk anak dan menantu Abdullah.

Dr Mahathir juga mendakwa Abdullah tidak sesuai menjadi pemimpin kerana terlalu lembut dan lembik apabila terlalu mudah tunduk kepada Singapura, Amerika Syarikat, Barisan Pejuang Hak-hak Hindu (Hindraf) dan Majlis Peguam.

Katanya, Abdullah tidak mahu menerima hakikat bahawa parti yang dipimpinnya, termasuk komponen Barisan Nasional (BN) kini di ambang kehancuran apabila tewas di lima negeri, termasuk Wilayah Persekutuan serta gagal merampas semula Kelantan.

"Beliaulah yang menghancurkan parti komponen BN iaitu MCA, MIC, Gerakan dan PPP apabila parti berkenaan kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu. Hasilnya masyarakat Cina dan India yang sebelum ini amat menaruh kepercayaan kepada BN kini tidak percaya lagi kepada BN," katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat Kedah juga wajar berbuat sesuatu kerana dilayan secara tidak adil apabila mereka tiada wakil dalam Kabinet sedangkan di sesetengah negeri jumlahnya terlalu ramai.

"Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan walaupun kalah ada wakil dalam Kabinet tetapi mengapa Kedah tiada seorang pun dilantik sebagai menteri penuh," katanya.

Pada akhir majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan kekecewaannya terhadap pemimpin Umno sekarang kerana bukan saja tidak mempertahankannya, sebaliknya turut mengkritiknya.

"Kalau dulu orang kata kononnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasai tak buat jambatan, orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya," katanya.

Dr Mahathir, 83, melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003 selepas 22 tahun memimpin kerajaan dan memilih Abdullah sebagai penggantinya. Beliau bagaimanapun lantang mengkritik Abdullah yang dianggap gagal meneruskan dasar pemerintahannya.

Sejarah Dr Mahathir dalam Umno menyaksikan beliau pernah dipecat daripada parti itu pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengesahkan keluar parti dalam blognya, www.chedet.com pada jam 10.11 malam tadi. Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau keluar dari Umno berkuat kuasa serta-merta bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang bernombor keahlian '2'.

Beliau turut menegaskan bahawa "saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan."

Laporan Dr Mahathir keluar Umno turut disiarkan kebanyakan blog lain, sama ada penyokong atau penentang beliau bersama komen pembaca.

Bagaimanapun, sehingga lewat malam tadi tiada laporan terkini mengenai ahli atau pemimpin Umno lain mengikut jejak bekas Presiden parti berkenaan.

Sumber: Berita Harian untuk tujuan dokumentasi. Akhbar & Majalah dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, Guided-Info.com dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.

 

This Post has 2 Comments

7:52 AM

Excellent post, my friend, excellent!
Happy day


CT

5:48 PM

Salam. Dia tahu apa yang dia buat

http://www.jutawansenyap12.blogspot.com


Posting Komentar

Posting Lama